Penggunaan AI, ekonomi digital perlu kawal selia demi lindungi pekerja – Fahmi

MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan,  perkembangan teknologi tanpa sebarang kawal selia berkesan boleh menjejaskan kebajikan pekerja dan ekosistem perniagaan.

Sehubungan itu tegas beliau, kemajuan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi gig dan e-dagang perlu disertai perancangan tenaga kerja serta kawal selia berkesan bagi melindungi pekerja dan memastikan pasaran pekerjaan tempatan kekal seimbang.

“Di pihak kerajaan, kita mahu menggalakkan perkembangan ekonomi, tetapi ia datang dengan tanggungjawab. Maksudnya, sekiranya terlalu bebas dan segala-galanya boleh dilakukan tanpa kawal selia, pasti ada kesannya,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi dialog ‘Teknologi Memacu Perubahan: Adakah Bakat Malaysia Bersedia?’ sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) dan Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini.

Turut menjadi panelis dialog Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan, manakala Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail bertindak sebagai moderator.

Manakala turut hadir Ketua Setiausaha Kementeria Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata, jika terlalu ramai rakyat kehilangan pekerjaan atau tidak mendapat gaji yang setimpal, maka perlu  diwujudkan satu akta untuk melindungi pekerja gig.

“Saya melihat perlu ada keseimbangan antara membolehkan syarikat dan perniagaan melakukan sedikit creative destruction, tetapi jangan sehingga merosakkan dan menimbulkan masalah sosial atau mengganggu-gugat ketenteraman awam,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau berkata,  mesti ada keseimbangan di antara membolehkan syarikat dan perniagaan melakukan sedikit perubahan dan pembaharuan dalam perniagaan tetapi jangan sampai merosakkan dan menimbulkan masalah sosial, sehingga mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor tertentu seperti industri kreatif dan animasi, teknologi AI dilihat lebih kepada pemudah cara peningkatan produktiviti dan aliran kerja berbanding menggantikan tenaga kerja manusia sepenuhnya.

“Saya baru melawat beberapa syarikat animasi. Di dua syarikat animasi besar yang saya lawati, tiada seorang pun pekerja yang dibuang atau digantikan dengan AI. Bagi mereka, ia sebahagian daripada integriti karya seni. Namun, mereka melihat AI boleh membantu dalam menguruskan aliran kerja,” katanya lagi.

Bagi memastikan rakyat bersedia, beliau menekankan kepentingan penerapan literasi digital yang selamat dalam komuniti menerusi rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan, Fahmi memberi jaminan kepada golongan mahasiswa, lepasan universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar tidak bimbang kerana kemunculan teknologi baharu turut membawa kepada pembentukan bidang pekerjaan baharu.

“Sektor-sektor bawah jagaan Kementerian Komunikasi ada beberapa perkara yang syarikat-syarikat perlu mengambil kira termasuk lepasan ijazah sarjana muda, lepasan universiti dan juga mereka yang mungkin hasil daripada bidang TVET.

“Di pihak kerajaan, kita akan berusaha untuk memastikan jumlah pekerjaan yang ada membolehkan syarikat-syarikat ini menggajikan lebih ramai bakat terutamanya anak-anak muda,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here