SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dan terjatuh ke bawah cerun di Jalan Kampung Sungai Bari, Setiu awal pagi ini.
Mohd Nazri Ibrahim, 49, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu kira-kira jam 10 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Kampung Batu 29, Setiu menuju ke Kampung Langkap, Setiu.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal dipercayai hilang kawalan ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan dan terjatuh ke bawah cerun,” katanya, lapor Buletin TV3.
Zahril Asri berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan serta berhati-hati ketika memandu atau menunggang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Katanya, saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Setiu bagi membantu siasatan.





