Input akademia RMK-13 akan dibawa ke Jemaah Menteri – Fahmi

PANDANGAN dan cadangan ahli akademik berkaitan pelaksanaan tahun kedua Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pandangan berkenaan penting bagi memastikan setiap projek di bawah RMK-13 dilaksanakan dengan tata kelola yang baik serta bebas daripada unsur salah guna kuasa dan rasuah.

“Setiap Rancangan Malaysia akan dilaksanakan menggunakan duit rakyat maka pelaksanaan projek-projek bawah RMK-13 terutamanya perlu pastikan aspek urus tadbirnya baik, tidak berlaku salah guna dan aspek kleptokrasi atau rasuah,” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13): Hala Tuju dan Cabaran di ibu negara hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, pandangan, kritikan membina serta saranan daripada golongan akademia perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh Kementerian Ekonomi, malah semua kementerian yang terlibat dalam pelaksanaan RMK-13.

Mengulas mengenai Belanjawan 2027, beliau berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan cadangan baharu Kementerian Komunikasi berkaitan pembangunan ekonomi ‘jingga’ atau ekonomi kreatif.

Menurutnya, Majlis Ekonomi Jingga yang diwujudkan kementerian itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri kreatif termasuk filem, animasi, muzik serta seni dan budaya.

“Kita tidak diberikan bayangan apa yang telah diluluskan. Ini memandangkan kita sudah bentuk satu Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif yang menyentuh filem, animasi, muzik, dan seni serta budaya.

“Jadi memang bagi pihak Kementerian Komunikasi ada beberapa perkara yang kita ketengahkan dan kita harap dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Sebelum ini, dilaporkan Kementerian Komunikasi mengemukakan lebih 20 inisiatif kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.

Cadangan itu merangkumi beberapa program baharu, projek susulan serta penambahbaikan mekanisme bagi program sedia ada di bawah kementerian dan agensinya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here