Tiada Rohingya antara 10,000 warga Myanmar dihantar pulang – PM

TIADA individu daripada etnik Rohingya dikenal pasti dalam kalangan kira-kira 10,000 warga Myanmar yang sudah dihantar pulang ke negara asal mereka setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses penghantaran pulang secara sukarela itu tidak dibuat berdasarkan latar belakang etnik, termasuk mereka dari Rakhine, Karen, Shan atau Rohingya.

“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang tapi ini masih lagi dalam perbincangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, beliau bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka membangkitkan perkara itu ketika pertemuan dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing dalam masa terdekat.

Katanya, Malaysia pada prinsipnya mengalu-alukan mana-mana negara yang mahu mengambil semula rakyat mereka yang berada di negara ini.

“Saya percaya Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden, Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, sebarang cadangan untuk menghentikan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam urusan pendaftaran pelarian di Malaysia perlu terlebih dahulu melalui rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, peranan UNHCR di negara ini merupakan legasi yang sebelum ini dibenarkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu dan sebarang perubahan terhadap dasar berkenaan memerlukan proses tertentu.

“Ini memerlukan proses rundingan dengan PBB supaya kita tidak dilihat mengetepikan peraturan antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan pengurusan urusan berkaitan pelarian di negara ini perlu berada di bawah kawalan jentera kerajaan sendiri.

“Bagaimanapun, saya setuju sebenarnya tindakan dan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar, yang mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak (mendapat status pelarian),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) berhubung langkah kerajaan untuk mengambil alih peranan pengeluaran kad pelarian daripada UNHCR.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here