JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengesahkan video tular memaparkan salah laku dua anggota polis trafik di Johor Bahru Selatan, Johor, adalah kejadian lama yang berlaku pada November 2020.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata kedua-dua anggota berpangkat koperal berkenaan sudah dikenal pasti dan tindakan tegas telah diambil pada tahun kejadian dilaporkan.
“Kedua-dua anggota terbabit sudah ditukarkan tempat tugas di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan selama tempoh dua tahun.
“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 36 (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib),” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, video tular itu juga sama dan selari dengan tarikh serta waktu yang dirakam daripada Malaysia-Singapore Border Crossers (MSBC).
Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya sedang mendapatkan perincian mengenai video berkenaan yang kembali ditularkan.
“JSPT akan berbincang dengan Bahagian Perundangan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang kembali menularkan video itu.
“Tindakan ini adalah terhadap mereka yang dipercayai berniat jahat dan hendak memalukan JSPT,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 49 saat itu dikesan tular sejak empat hari lalu menerusi aplikasi TikTok.





