Ibu bapa perlu lebih aktif tangani isu buli, keselamatan murid – PM

PENGLIBATAN ibu bapa dalam menangani isu buli dan aspek keselamatan murid di sekolah perlu diperkasakan bagi memastikan kebajikan serta disiplin pelajar sentiasa diberi perhatian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab menangani perkara itu bukan hanya terletak kepada guru dan pihak sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama keluarga, khususnya dalam memantau perkembangan anak-anak.

Menurut beliau, peranan guru dan sekolah juga penting, termasuk dalam menangani kejadian yang berlaku di luar waktu persekolahan.

Anwar berkata, pendekatan ibu bapa terhadap soal disiplin anak-anak kini turut mengalami perubahan berbanding generasi terdahulu.

“Berbeza juga daripada generasi kita. Kalau kena pukul, balik rumah beritahu ibu bapa, kena pukul lagi. Kalau sekarang, kena jentik sedikit, kena saman. Ada juga beberapa masalah kesedaran keluarga,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, lapor Buletin TV3.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, penglibatan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masih belum mencapai tahap yang diharapkan walaupun banyak persatuan berkenaan aktif di sekolah.

Katanya, penyertaan ibu bapa yang lebih menyeluruh penting bagi mewujudkan hubungan lebih rapat antara keluarga, guru dan pihak sekolah.

“Banyak PIBG yang bergerak tetapi penyertaan ibu bapa itu terbatas. Sebab itu kita usulkan beberapa pembahagian bantuan yang diluluskan kepada ibu bapa di sekolah.

“Sekolah sekurang-kurangnya mewajibkan ibu bapa datang ke sekolah dan dari situ ada engagement dengan guru-guru,” katanya.

Anwar pada masa sama menegaskan aspek kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan keluarga perlu diberikan perhatian serius bagi membantu menangani pelbagai isu membabitkan murid.

Menurutnya, kerjasama berterusan antara keluarga dan sekolah penting bagi memastikan isu berkaitan disiplin, buli serta keselamatan murid dapat ditangani secara lebih berkesan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here