DUA lelaki tempatan ditahan dipercayai terbabit kes pecah rumah dan melarikan dua kenderaan di sebuah kawasan perumahan Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun itu ditahan di Cheras, Kuala Lumpur, pukul 6 petang hingga 8.30 malam.
Katanya, pada 7.45 pagi semalam, pengadu, seorang lelaki berusia 62 tahun yang juga pesara di universiti awam membuat laporan rumahnya dipecah masuk ketika dia dan isteri sedang tidur.
“Suspek dipercayai melarikan dua kenderaan jenis Mercedes Benz dan Perodua Kelisa yang berada di kawasan parkir rumah bersama satu beg tangan mengandungi dokumen peribadi isteri pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Susulan itu pihaknya menahan dua suspek kira-kira 14 jam selepas laporan diterima.
Katanya, penahanan itu turut membawa kepada rampasan dua kenderaan milik pengadu bersama beg tangan disahkan milik isterinya yang mengandungi beberapa dokumen peribadi termasuk seutas jam tangan, seutas rantai emas dan dua telefon bimbit.
“Selain itu, dompet duit, kotak cermin mata, gunting, serangkai kunci rumah, dua papan plat kenderaan bersama cukai jalan kenderaan.
“Hasil semakan turut mendapati kedua-dua mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 13 kes jenayah dan sembilan kes dadah,” katanya.
Hasil ujian awal air kencing dapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
Naazron berkata, kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4900″]


