UMAT Islam diseru supaya mengutamakan sikap toleransi, kasih sayang dan kefahaman berasaskan ilmu dalam kehidupan bermasyarakat tanpa menggadaikan prinsip serta pegangan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam perlu menjadi contoh kepada masyarakat dengan menjauhi sikap melampau, rasuah dan penipuan selain terus melakukan kebaikan.
“Bagi umat Islam, saya katakan, tunjukkan lebih banyak sikap toleransi dan kasih sayang. Ia tidak bermaksud kita mengorbankan prinsip dan pegangan kita.
“Kita tetap menunaikan solat, melakukan kebaikan, menjauhi sikap melampau, rasuah dan sakau serta menjadi contoh yang baik kepada semua,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.
Anwar pada masa sama mengingatkan umat Islam supaya tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap sesuatu perkara tanpa mempunyai ilmu dan kefahaman yang mencukupi.
Menurutnya, penghayatan terhadap Islam perlu diperkukuh melalui pengajian yang mendalam serta mengambil manfaat daripada khazanah dan tradisi keilmuan Islam yang telah berkembang sejak sekian lama.
“Tanam kefahaman yang lebih mendalam dan jangan izinkan tersebarnya pandangan yang mendorong kepada pantas menghukum tanpa berbekal kepada ilmu yang mendalam,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya umat Islam tidak mengetepikan warisan keilmuan Islam semata-mata kerana mahu mengikut pandangan atau pemikiran baharu.





