KERAJAAN perlu memastikan setiap dasar yang sukar diterangkan dengan jelas kepada rakyat supaya keputusan yang dibuat, termasuk berkaitan subsidi, dapat difahami dan diterima tanpa menimbulkan kekeliruan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerangan yang jelas mengenai rasional sesuatu dasar penting bagi membolehkan golongan yang terkesan memahami keperluan kerajaan mengambil langkah berkenaan.
Menurut beliau, pengalaman melaksanakan penyelarasan subsidi selama lebih dua tahun menunjukkan pendekatan itu dapat dilakukan dengan baik apabila rakyat memahami tujuan dan kesan dasar yang diperkenalkan.
“Kita sudah laksanakan penyelarasan subsidi selama lebih dua tahun, dan sehingga kini, tiada protes jalanan berlaku. Kejelasan amat penting,” katanya ketika berucap pada Forum Megatrends Khazanah di ibu negara hari ini, lapor FMT.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir serta ahli Lembaga Pengarahnya, Dr Nungsari Ahmad Radhi.
Amir Hamzah berkata, kerajaan menyedari bukan mudah untuk melaksanakan keputusan tertentu, khususnya apabila ia melibatkan trade-off atau pertukaran kepentingan antara kumpulan masyarakat.
Untuk itu, katanya, langkah sedemikian hanya akan memberi hasil yang baik sekiranya golongan sasaran memahami sebab sesuatu keputusan perlu dibuat.
“‘Trade off’ sebegini berkesan apabila penerima atau golongan sasar faham mengapa keputusan itu terpaksa diambil,” katanya.
Amir Hamzah turut mengingatkan bahawa kesan sesuatu dasar tidak wajar dinilai secara terburu-buru kerana setiap keputusan kerajaan boleh memberi implikasi dalam tempoh panjang.
Sebagai gambaran, katanya, dasar yang hanya memberi kesan kepada 10 peratus penduduk mungkin kelihatan kecil dari sudut peratusan, namun angka itu sebenarnya melibatkan kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia.
“Jadi segelintir mereka ini akan alami perubahan yang ketara,” katanya.
Semalam dilaporkan perbelanjaan subsidi kerajaan berkurangan 40.1 peratus kepada RM23.43 bilion pada 2025 berbanding RM39.10 bilion pada 2024, susulan pelaksanaan penyasaran subsidi bagi diesel dan petrol.





