Kuasai AI atau umat Islam bakal ketinggalan – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa umat Islam di negara ini untuk  menguasai kecerdasan buatan (AI) dan ilmu teknologi baharu bagi memastikan tidak terus ketinggalan dalam arus perubahan dunia.

Perdana Menteri berkata, penguasaan AI tidak seharusnya dilihat sekadar mengikut atau meniru kemajuan negara lain, sebaliknya perlu disesuaikan dengan nilai dan acuan umat Islam.

DATUK Seri Anwar Ibrahim (duduk tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (dua dari kiri) dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (kiri) bergambar bersama pengurusan dan peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini. GAMBAR: Bernama

Beliau berkata, perkembangan teknologi termasuk AI, pengkomputeran kuantum dan pendigitalan perlu bergerak seiring dengan penghayatan terhadap iman, akhlak serta pembentukan sahsiah.

“Apakah perlu kita kuasai? Jawab saya, satu kemestian. Umat yang meninggalkan artificial intelligence sebagai ilmu dan knowledge baru akan tercorot.

“Tetapi fahaman AI kita itu tidak semestinya menciplak, cedok sepenuhnya dari negara asing,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Anwar berkata, cabaran utama dihadapi adalah memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan prinsip agama yang menjadi asas kehidupan umat Islam.

“Cabaran ialah bagaimana kita gunakan ilmu dan teknologi baru ini, quantum computing, artificial intelligence, digitalization, tetapi berakar kepada iman dan akhlak dan syahsiah kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya keghairahan mengejar ilmu dan perubahan tidak menyebabkan prinsip akidah, akhlak serta sahsiah diketepikan.

“Nilai kita mesti kita pertahankan. Jangan kerana mendambakan perubahan, jangan menginginkan ilmu baru, kita tinggalkan prinsip akidah dan akhlak dan syahsiah kita itu tersisih daripada arus sebagai seorang Muslim yang baik,” katanya.

Menurut Anwar, usaha membangunkan umat perlu terus berteraskan semangat membawa kebaikan dan rahmat kepada masyarakat.

Katanya lagi, kebangkitan umat Islam bukan hanya bergantung kepada penguasaan ilmu, sebaliknya turut memerlukan keimanan, akhlak, pembentukan sahsiah dan keberanian untuk membawa perubahan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here