521kg dadah dirampas Laos bukan dari Malaysia, jet persendirian berlepas kosong dari Subang

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sejumlah 521 kilogram (kg) dadah jenis crystal methamphetamine yang dirampas pihak berkuasa Laos tidak berasal dari Malaysia, sebaliknya jet persendirian terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang tanpa membawa sebarang muatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan terbang ke Luang Prabang, Laos dengan hanya membawa tiga individu iaitu seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.

Menurutnya, pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira jam 11.30 pagi sebelum dua kenderaan memasuki kawasan lapangan terbang kira-kira dua jam kemudian.

“Beberapa kakitangan lapangan terbang kemudian membantu memindahkan 23 beg daripada kenderaan berkenaan ke atas troli untuk dibawa ke pesawat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hussein berkata, pemeriksaan terhadap kesemua beg terbabit membawa kepada penemuan 500 bungkusan disyaki crystal methamphetamine dengan berat keseluruhan 521kg.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai akan dihantar ke Manila, Filipina dan bukannya untuk pasaran Malaysia.

Hussein berkata, dalam operasi pada 1 Oktober lalu itu, pihak berkuasa Laos menahan 13 individu bagi membantu siasatan.

Katanya, mereka terdiri daripada juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia, penumpang warga Filipina, tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat lapangan terbang serta tujuh kakitangan lapangan terbang yang mengendalikan mesin X-ray, kesemuanya warga Laos.

“Kesemua suspek dibawa ke tempat tahanan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Laos.

“PDRM sudah memulakan siasatan berkaitan kes ini dan akan menghantar beberapa pegawai JSJN ke Laos untuk menjalankan soal siasat serta mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sindiket dadah yang terbabit, terutama di Malaysia,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here