SEORANG ibu tunggal yang menjalankan perniagaan dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tujuh pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi TikTok terhadap seorang wanita, pada Jun lalu.
Tertuduh, V T Pavithra, 33, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Rohatul Akmar Abdullah.
Empat pertuduhan di hadapan Raja Noor Adilla membabitkan dakwaan tertuduh menggunakan aplikasi TikTok secara sedar untuk menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati dan mengganggu seorang wanita berusia 37 tahun.
Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Jalan Melaka Raya 13, Taman Melaka Raya pada 17 Jun kira-kira jam 5.55 petang, 22 Jun jam 9.30 malam, 24 Jun jam 10.58 malam dan 27 Jun jam 10.18 malam.
Sementara itu, tiga lagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh di hadapan Rohatul Akmar membabitkan dakwaan sama terhadap wanita berkenaan pada 27 Jun lalu, masing-masing pada jam 6.53 petang, 7.58 malam dan 10.03 malam.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, lapor BH.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya, selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam JM Mark.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan lain.





