POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan Malaysia sebagai laluan transit selepas menahan sembilan individu dan merampas dadah bernilai keseluruhan RM21.73 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan menerusi Op Lejogaster itu hasil risikan dan pemantauan berterusan bermula 12 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Beliau berkata, sembilan suspek berusia antara 22 hingga 51 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lapan lelaki warga asing yang ditahan dalam tiga serbuan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kejayaan operasi ini turut berjaya menyelamatkan empat warga asing daripada terus dieksploitasi dan dipergunakan sebagai keldai dadah oleh sindiket tersebut.
“Op Lejogaster ini dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan JSJN Bukit Aman dalam membongkar rangkaian sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja yang beroperasi untuk pasaran antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.
Menurut Hussein, serbuan pertama pada 12 Julai lalu dijalankan di hadapan lobi sebuah hotel di sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan dua suspek ditahan.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 kemudian menemukan dua bagasi mengandungi 60 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 31.72 kilogram (kg).
Susulan tangkapan itu, polis memeriksa sebuah rumah di sekitar Bayan Lepas dan merampas 60 lagi bungkusan bunga ganja seberat 31.14 kg.
Pada 3 Ogos lalu pula, kata beliau, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Citra, Mantin, Negeri Sembilan dengan seorang suspek ditahan serta 10 bagasi mengandungi 170 bungkusan bunga ganja seberat 175.76 kg dirampas.
Polis kemudian menahan lima lagi warga asing di sekitar Sepang, Selangor, dengan empat daripada mereka dipercayai berperanan sebagai keldai dadah.
Serbuan ketiga pada hari sama dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dengan seorang lagi warga asing ditahan bersama dua bagasi mengandungi 60 bungkusan bunga ganja seberat 31.65 kg, katanya.
Keseluruhannya, jelas Hussein, polis merampas 270.27 kg bunga ganja bernilai kira-kira RM21.62 juta selain 0.5 gram methamphetamine.
Tambah beliau, polis turut menyita pelbagai harta dianggarkan bernilai RM117,172 termasuk barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan sebuah Honda CR-V.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ujarnya lagi.





