PERASAAN cemburu dipercayai menjadi motif seorang penuntut wanita berusia 19 tahun maut dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah di Jalan Air Putih, Kuantan, semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, polis sudah mengambil keterangan tiga individu termasuk rakan serumah mangsa bagi membantu melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mangsa dan suspek sudah kenal antara satu sama lain lebih kurang setahun dengan kejadian dipercayai akibat cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Bernama.
Sebelum ini, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada teman lelaki mangsa pada jam 4.32 pagi.
Mangsa yang juga penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) itu ditemukan terbaring di atas katil dalam sebuah bilik sewa di tingkat bawah rumah berkenaan.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun di lokasi kejadian.
Suspek kini direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan lanjut.





