Cemburu disyaki punca isteri tikam suami

SEORANG wanita ditahan selepas dipercayai menikam suaminya menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Datuk Mohammad Musa, Kuching pada Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa berusia 35 tahun cedera pada bahagian perut dan terpaksa menjalani pembedahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, pihaknya menerima maklumat daripada hospital berhubung seorang lelaki yang sedang menerima rawatan selepas dipercayai ditikam isterinya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek merupakan pasangan suami isteri yang sudah berkahwin selama 12 tahun serta mempunyai tiga anak.

Bagaimanapun, pasangan itu tidak tinggal bersama sejak lebih dua tahun lalu akibat perselisihan faham.

“Siasatan turut mendapati berlaku pertengkaran antara mereka sebelum kejadian yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.

“Mangsa dipercayai datang ke rumah sewa suspek sebelum bertindak memukul kepala wanita itu menggunakan topi keledar kerana mengesyakinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek berusia 31 tahun mengalami kecederaan di kepala sebelum mencapai sebilah pisau dan menikam mangsa yang dikatakan mengekorinya masuk ke dalam rumah.

Kejadian itu turut disaksikan ibu suspek yang juga ibu mentua mangsa kerana ketika insiden berlaku, mangsa sedang membuat panggilan video menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Suspek mendakwa tindakannya itu bagi mempertahankan diri selepas dipukul mangsa,” katanya.

Barry berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke Pusat Jantung Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan pada perut sehingga menyebabkan sebahagian usus terkeluar, namun tidak mengalami kecederaan serius pada organ dalaman lain dan kini masih menerima rawatan serta dipantau pihak hospital.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Suspek ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img