PRN Melaka: SPR tetapkan 31 Oktober penamaan calon, hari mengundi 14 November

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya turut bersetuju menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala tarikh mengundi awal pula pada 10 November.

Pada 22 September lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa pada 23 September.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 21 daripadanya dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRN lalu, manakala lima dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan dua Perikatan Nasional (PN).

Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi SPR:

URUSAN PILIHAN RAYA UMUM

DEWAN UNDANGAN NEGERI (PRU DUN) MELAKA KE-16

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 pada 23 September 2026.

Sehubungan dengan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini, 7 Oktober 2026 (Rabu) dan memutuskan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Bagi maksud menjalankan PRU DUN Melaka Ke-16, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 31 Oktober 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 13 November 2026 (Jumaat).

Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRU DUN Melaka Ke-16 telah dibuka dari 23 September 2026 (Rabu), dan tarikh tutup permohonan adalah seperti berikut:

 

Permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Anggota/Pegawai SPR dan Petugas Media), Kategori 1B (Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi), dilaksanakan secara dalam talian (online). Maklumat lanjut dan panduan permohonan undi pos boleh dirujuk melalui Portal SPR, www.spr.gov.my.

Bagi menjalankan proses PRU DUN Melaka Ke-16, SPR telah melantik 28 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh
80 orang Penolong Pegawai Pengurus. Manakala, bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Bagi maksud PRU DUN Melaka Ke-16, sebanyak 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi
(PPRU) akan digunakan dalam pilihan raya pada kali ini.

Dalam melaksanakan PRU DUN Melaka Ke-16 ini, seramai 11,175 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut.
Manakala, sebanyak 31 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 50 tempat mengundi/saluran awal dan 240 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,213 tempat mengundi/saluran akan digunakan. Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 271 buah Pusat Mengundi dengan 1,263 tempat mengundi/saluran.

PRU DUN Melaka Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM28.45juta.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk
PRU DUN Melaka Ke-16 adalah Daftar Pemilih terkini sehingga
Daftar Pemilih Tambahan Julai Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 22 September 2026. DPPR bagi PRU DUN Melaka Ke-16 ini mengandungi seramai 687,697 orang pemilih yang terdiri daripada 675,166 orang pengundi biasa, 9,769 orang tentera serta pasangan, dan 2,762 orang polis. DPPR bagi PRU DUN Melaka Ke-16 dijadualkan akan mula dijual pada 26 Oktober 2026 (Isnin).

Para pengundi yang terlibat dalam PRU DUN Melaka Ke-16 boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Waktu operasi Hotline SPR adalah dari 9:00 pagi hingga 8:00 malam setiap hari. Semakan boleh dibuat juga mulai 26 Oktober 2026 (Isnin).

Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU DUN
Melaka Ke-16 agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum Hari Penamaan Calon.
Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Walau bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR.

SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat penjalanan proses PRU DUN Melaka Ke-16 bermula pada Hari Penamaan Calon sehingga Keputusan Pilihan Raya diumumkan.
Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan PPRU serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah
ditetapkan oleh SPR.

Maklumat lanjut dan borang permohonan berkaitan pemerhati pilihan raya boleh diperolehi dari Portal SPR www.spr.gov.my
mulai 7 Oktober 2026 (Rabu) dan tarikh tutup permohonan pada 21 Oktober 2026 (Rabu).

Pada PRU DUN Melaka Ke-16 ini, SPR memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan projek rintis Sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance (OCR-VA) di semua saluran di setiap Pusat Mengundi melibatkan 28 Bahagian
Pilihan Raya Negeri Melaka.

Sistem OCR-VA bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik melalui pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri, sekali gus mempercepatkan proses semakan dan rekod kehadiran, mengurangkan kesilapan penandaan manual serta meningkatkan kecekapan petugas dan proses pada hari mengundi.

SPR menegaskan bahawa pelaksanaan projek rintis OCR-VA juga merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan proses pilihan raya tanpa mengubah tatacara pengundian sedia ada.
Pengundi hanya perlu hadir ke pusat pengundian seperti biasa, mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk tujuan semakan dan seterusnya meneruskan proses pengundian mengikut prosedur sedia ada.

SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi live streaming bagi Pusat/Saluran Mengundi yang terpilih di laman Facebook rasmi SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini termasuk keputusan tidak rasmi selepas waktu mengundi tamat.

Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen “Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian.

 

DATO’ SRI RAMLAN BIN DATO’ HARUN

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

7 Oktober 2026 / 25 Rabiulakhir 1448H



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here