Dua hari hilang: Lelaki ditemukan maut kenderaan terbabas gaung

MISTERI kehilangan seorang juruukur bebas berusia 60 tahun terjawab apabila lelaki berkenaan ditemukan tidak bernyawa di dalam Toyota Hilux yang terbabas ke gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Ladang Pos Pulat di Gua Musang kelmarin.

Mangsa, Saipul Anwar Daud, dilaporkan hilang sejak Ahad lalu sebelum ditemukan rakan sekerjanya kelmarin selepas usaha mengesannya dilakukan susulan kegagalan menghubungi keluarga selama dua hari.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4.30 petang berhubung sebuah pikap yang ditemukan di dasar gaung.

Katanya, hasil semakan mendapati lokasi terakhir mangsa dikesan menerusi fungsi ‘live location’ pada petang 4 Oktober lalu adalah di sekitar kawasan berkenaan.

“Rakan sekerja mangsa kemudian pergi ke lokasi tersebut pada 6 Oktober bagi mencarinya dan menemukan Toyota Hilux yang dipandunya telah terbabas ke dalam gaung.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kaki dan muka,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai sedang memandu menuruni kawasan berbukit sebelum kenderaannya hilang kawalan lalu terjunam ke gaung.

Kejadian itu dipercayai tidak disedari orang awam kerana tiada saksi yang melihat kemalangan berkenaan, menyebabkan mangsa hanya ditemukan selepas rakan sekerjanya menjejaki lokasi terakhir yang dikesan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here