SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan warta pembubaran DUN Johor telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit ketika dihubungi media hari ini.
Surat berkenaan memaklumkan mengenai pembubaran DUN Johor telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Sehubungan itu, satu notis pemasyhuran memansuhkan dewan berkenaan telah dikemukakan kepada SPR hari ini.
“Dimaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah berkenan membuat pemasyhuran memansuhkan Dewan Negeri Johor pada 1 Jun 2026,” katanya dalam surat rasmi kepada Pengerusi SPR tersebut.
Semalam, SPR memaklumkan akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Johor daripada Speaker DUN negeri itu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN berkenaan.
Kenyataan SPR itu susulan pengumuman Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau di Saujana di Johor Bahru sebelum itu mengenai pembubaran DUN Johor berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.
Onn Hafiz berkata, pembubaran itu dilakukan selepas mendapat titah perkenan daripada Tunku Mahkota Ismail dalam satu majlis menghadap yang berlangsung semalam.


