12 warga asing ditahan terlibat sindiket penipuan pelaburan

SERAMAI 12 warga asing ditahan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pusat panggilan penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa di China dan Eropah dalam serbuan di sekitar daerah Kuantan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mereka terdiri daripada 10 lelaki warga China, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Myanmar berusia antara 21 hingga 35 tahun.

Katanya, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Kuantan dan mempunyai kaitan dengan serbuan Jabatan Imigresen di sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, kelmarin.

“Bertindak atas maklumat, pasukan risikan operasi JSJK Pahang menjalankan pemantauan di sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing semalam dan menahan seorang lelaki warga China berusia 35 tahun ketika memasuki kawasan premis terbabit.

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada tangkapan itu, pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan di lima alamat sekitar Kuantan dan berjaya menahan 11 individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azry Akmar berkata, semakan awal mendapati kesemua 12 warga asing terbabit tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, hasil pemeriksaan dan analisis barang kes mendapati sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari China dan Eropah.

“Sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sebagai khidmat pelanggan menggunakan satu aplikasi pelaburan dalam talian untuk memperdayakan mangsa menyertai pelaburan yang tidak wujud dengan menjanjikan pulangan lumayan.

“Semakan sejarah komunikasi melalui aplikasi Telegram dan Meta Business turut menemukan perbualan yang menunjukkan hubungan antara sindiket dengan mangsa bagi menawarkan pelaburan melalui aplikasi terbabit,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati sindiket menggunakan talian internet tempatan dan dipercayai beroperasi di Malaysia selama kira-kira dua bulan.

Dalam serbuan itu, polis merampas 14 telefon bimbit, tujuh komputer, sebuah komputer riba, dua unit router Wi-Fi, sebuah kenderaan serta satu unit alat kawalan jauh kenderaan dengan anggaran keseluruhan nilai RM215,000.

Azry Akmar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti mangsa, jumlah kerugian sebenar serta rangkaian sindiket yang terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here