SEORANG lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan tergantung di bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Melayu Ampang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, Pusat Kawalan Daerah Ampang Jaya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.11 malam, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tergantung di bahagian dapur rumah berkenaan.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian. Punca kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan serta laporan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.





