USAHA memperkukuh penyampaian maklumat dan pembangunan ekosistem digital di Wilayah Persekutuan Labuan dipertingkatkan menerusi pembukaan Kompleks Kementerian Komunikasi Labuan yang menghimpunkan empat agensi di bawah satu bumbung.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini merasmikan kompleks berkeluasan 4,789 meter persegi itu yang menempatkan Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, kompleks bernilai RM9.5 juta itu dilihat menjadi antara langkah kerajaan dalam memperkemas kerjasama serta penyelarasan membabitkan penyampaian maklumat, penyiaran, kewartawanan dan pembangunan sektor digital di Labuan.
“Kedudukan Labuan sebagai Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa (IBFC), selain peranannya sebagai hab logistik minyak dan gas, turut menjadikan keperluan terhadap infrastruktur komunikasi dan digital yang kukuh semakin penting dalam menyokong aktiviti ekonomi di wilayah berkenaan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kementerian itu, kompleks itu turut memberi penekanan kepada empat fokus utama, termasuk memperluas penglibatan suara serta budaya tempatan, memperkukuh akses digital, memperkasa usahawan tempatan dan meningkatkan tahap literasi serta keselamatan digital masyarakat.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek; Ketua Pengarah Japen, Erwin Khairul Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Ritduan Haji Ismail.





