TIGA beradik maut selepas motosikal dinaiki terlibat nahas dengan lori dalam kejadian di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, hari ini.
Kejadian sekitar jam 7 pagi itu meragut nyawa dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan lapan tahun, selain remaja lelaki berusia 18 tahun.
Ketua Polis Pontian Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussian, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.
Sementara itu Ibu mangsa, Julaiha Munaji, 42, berkata tiga anaknya itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan kembali ke rumah di Kampung Parit Haji Sirat, Pontian.
“Saya dah beritahu tak payah pergi sebab sekolah tutup hari ini. Tapi, mereka berdua beriya-iya dan berkeras hendak pergi juga.
“Jadi, abangnya tolong hantarkan untuk puaskan hati mereka, nak tunjuk memang sekolah tutup. Tapi apakan daya, dalam perjalanan pulang mereka kemalangan,” katanya lapor Berita Harian.
Dalam kejadian sekitar 7 pagi, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, dan abang mereka, Nor Daniel Aiman, 18, maut selepas bertembung dengan sebuah lori.
Julaiha berkata, kejadian itu menimpa tiga anaknya berlaku 200m dari kediaman mereka.
“Sekolah mereka dengan rumah terletak kira-kira dua kilometer. Saya mendapat berita selepas ada penduduk datang memberitahu motosikal dinaiki anak saya kemalangan.
“Kejadian berlaku hanya 200 meter dari rumah kami. Suami dan anak sulung bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui keadaan mereka. Tapi, semua anak sudah dibawa ke Hospital Pontian,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Sirat.





