Pertemuan Anwar,Aung Hlaing bukan iktiraf Kerajaan Myanmar

PERTEMUAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing hari ini bukan bertujuan memberikan pengiktirafan kepada kerajaan negara berkenaan, sebaliknya bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar yang telah lama berlarutan di Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendekatan berkenaan membuktikan kerajaan memanfaatkan saluran diplomatik bagi menangani isu domestik, termasuk berkaitan pelarian Myanmar.

“Pertemuan ini bukan satu pengiktirafan terhadap kerajaan Myanmar, bukan. Tetapi kita mengadakan pertemuan ini untuk mencari jalan penyelesaian isu pelarian Myanmar yang telah lama berlarutan dalam negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata pertemuan itu diharap membuahkan hasil positif, termasuk dalam memastikan isu pelarian Myanmar di Malaysia dapat diuruskan menerusi saluran yang betul.

“Jadi, insya-Allah, pertemuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersama Presiden Myanmar pada hari ini, kita doakan membuahkan hasil yang cukup positif, memastikan bahawa 19 etnik Myanmar yang merupakan kumpulan pelarian Myanmar di Malaysia, rata-rata akan bergerak ke Myanmar menggunakan saluran-saluran yang betul dan kita dapat menguruskan isu-isu yang dihadapi dalam negara kita,” katanya.

Fahmi berkata selain pertemuan dengan Presiden Myanmar, terdapat satu lagi pertemuan penting yang dijadualkan berlangsung esok selepas pembentangan Belanjawan.

Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk usaha memperkukuh hubungan dua hala serta isu berkaitan Palestin.

“Nantikanlah hasil daripada pertemuan dan perbincangan dua pertemuan penting yang akan berlaku pada hari ini dan esok,” katanya.

Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dijadual mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 9 hingga 10 Okt ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here