KPT sasar lahirkan 30,000 graduan mahir dalam AI bagi tempoh 2025-2030

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan usaha melahirkan 30,000 graduan mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi tempoh 2025-2030 untuk mendepani cabaran automasi dan keperluan pasaran pekerjaan pada masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sasaran itu dijangka dicapai menerusi 30 program khusus pada peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang ditawarkan di 11 universiti awam ketika ini.

Beliau berkata 455 program pengajian pelbagai peringkat telah disemak semula setakat 30 Sept lepas bagi memastikannya kekal relevan dengan kemajuan teknologi.

“Bagi program khusus AI pula, pembangunan dan akreditasi diperkukuh melalui Standard Program Kecerdasan Buatan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya ia dibangunkan secara sistematik dan memenuhi kualiti ditetapkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung langkah KPT bagi memastikan graduan memiliki kemahiran AI untuk menghadapi perubahan pasaran pekerjaan, susulan jangkaan banyak pekerjaan berisiko diautomasikan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata ekosistem pembangunan bakat turut diperkukuh menerusi penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); dan Fakulti Pengkomputeran Cerdas di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Beliau berkata KPT juga merancang untuk mengintegrasikan elemen AI menerusi 80 peratus kursus sarjana muda di universiti awam bagi memastikan graduan terus berdaya saing dan kebolehpasaran mereka terjamin.

“Kita juga mengadakan program peningkatan kemahiran, pembelajaran berasaskan kerja dan program stackable untuk memastikan kemahiran AI dapat dibangunkan pada setiap peringkat pengajian bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan apabila mereka tamat pengajian nanti,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) berhubung daya pemikiran kritis pelajar semakin terhakis akibat mentaliti ‘tanya ChatGPT’, Zambry berkata cabaran terbesar universiti kini adalah mengimbangi AI sebagai instrumen bantuan belajar dan bukannya ejen yang mengambil alih sepenuhnya pemikiran manusia.

“Agentic AI adalah yang terbaharu dalam dunia kita. Dia sudah menjadi humanoid (menyerupai manusia) iaitu dia tolong fikirkan untuk kita, tolong selesaikan malah dia boleh memahami perasaan.

“Ini sangat berbahaya. Sebab itulah langkah dibuat ini kita mengimbangkan supaya sistem pendidikan tinggi kita dapat melahirkan manusia yang seimbang, komprehensif dan holistik sifatnya,” kata beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here