Institusi pendidikan di kawasan IPU melebihi 180 ditutup mulai esok

SEMUA sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang berada di kawasan dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 akan ditutup bermula esok.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan itu dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu aspek keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan diberi keutamaan susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

Menurutnya, institusi pendidikan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 secara berterusan selama tiga hari pula akan diarahkan tutup mulai Isnin depan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan, sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas perlu meneruskan proses pembelajaran menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sekolah perlu memastikan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah yang sesuai dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta tahap kesiapsiagaan guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh sekolah ditutup, berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta institusi pendidikan di bawah KPM diarahkan memantau bacaan IPU secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya paras ditetapkan dicapai.

Katanya, KPM akan terus mengikuti perkembangan keadaan jerebu dari semasa ke semasa serta mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan sentiasa terpelihara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here