SEORANG guru wanita maut manakala tiga murid cedera selepas Perodua Aruz yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Pamol-Sapi Nangoh di Beluran tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, guru berusia 25 tahun berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai menuju ke Beluran bersama tiga murid bagi menghadiri satu perkhemahan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sebelum tiba di lokasi pada jam 1.58 petang.
Menurutnya, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu, dengan guru terbabit dikeluarkan dari Perodua Aruz oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Guru berkenaan dan tiga murid yang cedera kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk mendapatkan rawatan,” katanya, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, guru berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Beliau berkata, empat individu yang berada dalam Toyota Hilux turut terlibat dalam kemalangan itu namun hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, operasi menyelamat selesai pada jam 2.07 petang.
Identiti semua mangsa masih belum diperoleh setakat ini.





