KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua perkara di bawah tanggungjawab kementerian itu susulan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng semalam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pemeriksaan itu merangkumi rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, aspek kawalan keselamatan serta rondaan di kawasan sekolah.
Beliau turut meminta syarikat kawalan keselamatan yang dilantik memberikan kerjasama sepenuhnya supaya setiap aspek berkaitan kejadian dapat diperiksa tanpa ada perkara yang terlepas pandang.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan seorang pelajar perempuan di dalam sebuah dewan sekolah di Yong Peng.
Mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan dengan beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Fadhlina, sekiranya pemeriksaan mendapati berlaku sebarang kecuaian atau tanggungjawab tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
Beliau berkata demikian selepas berada di Yong Peng bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan kejadian yang mengorbankan pelajar berkenaan.
Katanya, beliau turut menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah mengenai kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dilaksanakan.
Fadhlina pada masa sama berkesempatan bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
“Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.
Mengulas perkembangan siasatan polis, Fadhlina berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan yang sedang dijalankan.
Beliau berkata, sokongan kaunseling turut disediakan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian berkenaan.
“Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi. Berikan keluarga ruang dan hormati proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya.





