PRN Melaka: Pas sedia guna logo sendiri jika PN tidak dapat guna logo gabungan – Sanusi

PAS berkemungkinan menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak dibenarkan menggunakan logo gabungan berkenaan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu bagaimanapun belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat parti Isnin depan.

Menurutnya, keputusan berkenaan turut bergantung kepada perkembangan berkaitan status pendaftaran logo PN dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Saya dengar Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) ada fail saman kepada RoS, tunggu keputusanlah. Kalau tak ada pilihan, logo Pas lah.

“Logo ini orang tak fobia dah. Gunung Everest pun dah (ada) logo Pas, orang bawa pergi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hakmilik dan Kunci Rumah Desa Sejahtera Perik, Mukim Kurong Hitam di Padang Terap hari ini.

Mengulas kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka, Sanusi berkata Pas melihat dua kemungkinan berdasarkan formula yang pernah digunakan di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, sebarang bentuk kerjasama perlu mengambil kira pembahagian serta pengorbanan setiap parti secara adil dan seimbang.

“Formula dia ada dua saja, satu formula Johor, satu formula Negeri Sembilan. Dua formula itulah.

“Kalau status quo (timbal balik) di Melaka, status quo di tempat lain pun status quo, adil dan saksama,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Pas tidak mahu kerjasama antara parti menimbulkan ketegangan dan berpendapat setiap pihak perlu mengambil kira kepentingan bersama.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, keputusan mengenai penggunaan logo PN pada PRN Melaka masih bergantung kepada perkembangan urusan gabungan itu dengan RoS.

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya sedang memohon pertemuan dengan Ketua Pengarah RoS bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here