PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab wajar mengeluarkan kenyataan menghina atau mengenepikan mana-mana kaum di negara ini.
Beliau berkata, Malaysia yang hampir 70 tahun mencapai kemerdekaan perlu terus diperkukuh dengan semangat saling menghormati serta berpaksikan Perlembagaan.
“Orang Melayu majoritinya memang berasal dari Tanah Melayu, namun ada juga yang berketurunan dari Indonesia, China dan Korea.
“Kita tidak boleh menolak mereka sebagai bukan rakyat. Masyarakat Cina, India dan kaum lain yang taat kepada negara, menerima Perlembagaan serta menjadi warganegara yang baik perlu dirangkum sebagai kekuatan Malaysia.
“Saya tidak setuju sama sekali dengan mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita,” katanya selepas Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Jempol pada Khamis.
Dalam ucapannya, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa orang Melayu adalah penduduk asal Tanah Melayu, manakala orang India mempunyai India dan orang Cina mempunyai China.
Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi serta mengundang perdebatan mengenai isu keharmonian dan hubungan antara kaum di negara ini.






