Pengarah syarikat didakwa pecah amanah dana RM101,679

SEORANG pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana berjumlah RM101,679.98 milik syarikat, dua tahun lalu.

Lee Lun Teong, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Pengarah Menarez Development Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan memindahkan wang milik syarikat itu ke akaun peribadinya atas alasan sebagai ‘fi pengarah’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menarez Development Sdn Bhd, Sentul, di sini, antara 1 November hingga 7 Disember 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, selain memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan membantah syarat penyerahan pasport atas alasan anak guamnya memerlukan dokumen itu bagi urusan perniagaan di luar negara.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat supaya dia melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Disember ini bagi serahan dokumen, lapor Buletin TV3.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here