LANGKAH kerajaan Malaysia menangani isu penghantaran pulang warga Myanmar melalui rundingan diplomatik merupakan perkembangan penting dalam hubungan antarabangsa negara.
Sehubungan itu Dekan Fakulti Industri Kreatif City University Malaysia Prof Madya Dr. Nadia Mohd Nasir berkata, usaha ini membuktikan bahawa diplomasi bukan sekadar hubungan rasmi antara dua buah negara, tetapi juga satu instrumen strategik untuk menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama.

‘’Kejayaan mendapatkan persetujuan bagi penghantaran pulang secara berperingkat menunjukkan bahawa Malaysia mampu menggunakan saluran diplomatik untuk mencapai hasil yang konkrit, ‘’ katanya.
Beliau diminta mengulas kejayaan Malaysia menjadi negara pertama yang berjaya menghantar pulang tahanan warga Myanmar ke negara asal mereka.
Pada 6 Oktober lalu di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghantaran pulang itu berjaya dilaksana hasil rundingan secara langsung dengan kerajaan Myanmar.
Beliau memaklumkan seramai 10,000 tahanan Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka sejak Januari tahun ini menerusi laluan udara dan laut.
Semalam Presiden Myanmar Min Aung Hlaing berkata, Myanmar bersedia memudahkan proses penghantaran pulang warganya secara besar-besaran dan menanggung kos berkaitan
Aung Hlaing turut memaklumkan bahawa antara 3,000 hingga 4,000 warga Myanmar yang kini berada di depot imigresen akan dihantar pulang ke negara berkenaan.
Mengulas lanjut Dr Nadia berkata, dalam konteks ini, kepimpinan Anwar wajar dihargai kerana memilih pendekatan rundingan dan kerjasama berbanding bergantung sepenuhnya pada tindakan penguatkuasaan domestik.
‘’Malaysia juga memperlihatkan bahawa sebuah negara boleh mempertahankan kedaulatan dan kepentingan nasional tanpa menutup ruang perbincangan dengan negara lain,’’ katanya.
Namun demikian, kata beliau, kejayaan diplomasi yang sebenar perlu dinilai bukan hanya berdasarkan jumlah individu yang dihantar pulang, tetapi juga berdasarkan keselamatan, maruah dan perlindungan hak asasi mereka yang terlibat.
‘’Memandangkan Myanmar masih berhadapan dengan konflik dan ketidakstabilan, prinsip penghantaran pulang secara sukarela, penilaian risiko yang teliti serta jaminan keselamatan perlu terus diberikan perhatian. Ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang mesti bergerak seiring dengan tanggungjawab kemanusiaan,’’ katanya.
Dr.Nadia menegaskan, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadikan perkembangan ini sebagai asas kepada diplomasi serantau yang lebih berkesan. Melalui ASEAN, negara kita boleh terus memainkan peranan konstruktif dalam menggalakkan kestabilan, kerjasama dan penyelesaian yang berpanjangan terhadap krisis Myanmar.
‘’Usaha kerajaan dan kepimpinan PMX wajar dihargai sebagai satu langkah diplomatik yang signifikan. Kejayaan ini memberikan mesej bahawa Malaysia bukan sahaja mampu mempertahankan kepentingan negara, malah berupaya menggunakan kebijaksanaan diplomasi untuk menangani cabaran antarabangsa yang kompleks.
‘’Namun, ukuran kejayaan yang paling bermakna ialah apabila kepentingan rakyat Malaysia terpelihara, hubungan serantau diperkukuh dan nilai kemanusiaan terus dihormati, tegasnya.





