Pengecualian duti hiburan galak lebih ramai rakyat tonton karya tempatan – Fahmi

PENGECUALIAN duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan di bawah Belanjawan 2027 bakal menjadi suntikan semangat baharu dalam menggalakkan lebih ramai rakyat menonton karya tempatan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata langkah itu memberi kelegaan kepada pengusaha panggung wayang sekali gus memberi impak positif secara berterusan kepada ekosistem perfileman negara.

Beliau berkata pihak kementerian akan berhubung dengan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) bagi memastikan penjimatan duti berkenaan diterjemahkan kepada penurunan harga tiket wayang di Wilayah Persekutuan.

“Disebabkan kerajaan telah mengetepikan cukai hiburan, maka harga tiket di panggung wayang di Wilayah Persekutuan mesti turun, jadi saya akan berhubung dengan mereka. Ini sudah pasti akan menggalakkan lebih ramai untuk menonton filem tempatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi berkata pertumbuhan industri itu turut disokong menerusi peluasan Insentif Penggambaran di Malaysia (FIMI) yang diperkemas bagi memacu aktiviti produksi filem tempatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pelaksanaan projek Rekod Perubatan Elektronik (EMR) antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) bakal merancakkan transformasi digital, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam negara.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata inisiatif yang disokong peruntukan dana hingga RM1 bilion daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan memodenkan sistem pengurusan rekod pesakit di klinik dan hospital kerajaan.

“Kita percaya menerusi sistem ini, mereka yang pergi ke klinik kesihatan serta hospital kerajaan akan menerima perkidmatan yang lebih lancar dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata projek rintis bagi EMR telah dilaksanakan sebelum ini dan akan diteruskan secara menyeluruh bermula tahun hadapan.

Teo turut menyambut baik peruntukan RM130 juta kepada industri kreatif dan RM142 juta untuk rangkaian komuniti bagi memperkukuh peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang disifatkannya mampu memberi impak positif dan merapatkan lagi jurang digital komunikasi di seluruh negara.

Mengenai keseluruhan belanjawan, beliau memuji kenaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM150 kepada RM200 serta pengenalan elaun RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam yang disifatnya mampu meringankan beban ibu bapa serta golongan pelajar.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here