KEJAYAAN menghantar pulang 10,493 pelarian Myanmar dan kesediaan negara junta tentera itu menerima antara 3,000 hingga 4,000 lagi rakyat negara tersebut membuktikan keupayaan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan diplomasi kepada komitmen pelaksanaan yang nyata.
Pensyarah USIM Fakulti kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Sofia Hayati Yusoff berkata, kesediaan Myanmar menerima kepulangan rakyatnya serta menanggung kos berkaitan merupakan hasil rundingan yang wajar dihargai.
‘’Pada hemat saya, pendekatan beliau memperlihatkan kebijaksanaan strategik dalam mendapatkan kerjasama negara asal, memperkukuh penyelarasan antara kerajaan dan membuka ruang penyelesaian yang lebih tersusun,’’ katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus.
Atas dasar ini, kata Dr.Sofia Hayati, Perdana Menteri wajar dipuji atas tindakan diplomatik strategik beliau dalam mendapatkan kerjasama negara asal dan komitmen pembiayaan yang nyata.
‘’Pendekatan rundingan tersebut memperlihatkan kepimpinan pragmatik serta usaha mengimbangi kepentingan nasional dengan tanggungjawab kemanusiaan secara lebih tersusun dan berorientasikan penyelesaian,’’ katanya.
Mengulas lanjutan beliau berkata, isu Rohingya perlu dinilai melalui kerangka kemanusiaan, tadbir urus migrasi dan diplomasi serantau.
Katanya, kehadiran Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam himpunan solidariti pada 4 Disember 2016 memperlihatkan pendirian politik membela masyarakat Rohingya yang berdepan penindasan pada ketika itu.
‘’Namun, penyertaan tersebut tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa himpunan itu menjadi punca peningkatan jumlah pelarian di Malaysia. Hubungan sebab-akibat sedemikian memerlukan penelitian empirikal terhadap konflik, jaringan migrasi dan dasar sempadan,’’ katanya.
Bagaimanapun kata Dr.Sofia Hayati, kita harus menerima hakikat himpunan sedemikian sedikit sebanyak secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada lambakan pelarian Rohingya ke Malaysia hingga dilihat sudah berada pada tahap di luar kawalan.
‘’Skala cabaran ini sememangnya besar. Menurut UNHCR, sehingga Ogos 2026, Malaysia mempunyai 225,740 pelarian dan pencari suaka berdaftar, dengan kira-kira 90 peratus berasal dari Myanmar.
‘’Angka ini menunjukkan perlunya pengurusan yang tersusun serta perkongsian tanggungjawab antara negara asal, negara penerima dan masyarakat antarabangsa.
Justeru, kata Dr.Sofia Hayati, beliau melihat pertemuan Anwar dengan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing pada 8 Oktober 2026 menghasilkan komitmen yang lebih konkrit serta membuka ruang penyelarasan operasi dan pembahagian tanggungjawab yang lebih jelas.





