‘’Wujudkan mekanisme penyelarasan akses pastikan PMKS bumiputera dapat peruntukan’’ – PERDASAMA

PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme penyelarasan akses bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera dapat memanfaatkan pelbagai peruntukan dan inisiatif Belanjawan 2027.

Presiden PERDASAMA Mohd Azamanizam Baharon berkata mekanisme penyelarasan dengan penglibatan persatuan perniagaan itu bertujuan memperjelas syarat kelayakan, saluran permohonan dan tempoh pemprosesan, selain meningkatkan pemantauan serta mengukur impak berdasarkan pembiayaan diluluskan, kontrak diperoleh, peluang pekerjaan diwujudkan dan pertumbuhan perniagaan.

“Selepas tiga kitaran belanjawan terdahulu, mengapa masih terdapat usahawan bumiputera yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, peluang kontrak dan pelbagai kemudahan yang diwujudkan khusus untuk memperkasakan ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azamanizam berkata sebahagian usahawan berdepan proses susulan permohonan yang berpanjangan, maklum balas tidak jelas dan status permohonan yang tidak diketahui, sehingga ada yang terpaksa mencari sumber pembiayaan alternatif yang lebih mahal atau berisiko.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) digesa memperluas peluang kepada syarikat bumiputera berkeupayaan untuk menjadi kontraktor utama, bukan sekadar subkontraktor, menerusi proses pemilihan yang telus dan adil.

“Sudah tiba masanya agenda vendor bumiputera bergerak daripada penyertaan kepada pemilikan keupayaan, daripada subkontrak kepada kepimpinan projek dan daripada peluang sekali-sekala kepada pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya.

Mohd Azamanizam berkata kerajaan turut digesa mempertimbangkan penubuhan semula institusi perbankan khusus bumiputera bagi melengkapi ekosistem kewangan sedia ada, khususnya untuk membantu usahawan berpotensi yang berdepan kekangan cagaran, rekod kewangan, modal kerja atau tempoh operasi.

Selain itu, PERDASAMA turut menekankan kepentingan peranan kementerian, jabatan, institusi kewangan dan kira-kira 80 agensi yang mempunyai mandat pembangunan bumiputera supaya lebih proaktif dalam membantu usahawan mendapatkan akses kepada kemudahan yang disediakan.

Antara inisiatif Belanjawan 2027 yang disambut baik ialah kemudahan pembiayaan mikro sehingga RM6.6 bilion, sasaran perolehan GLC dan PETRONAS sehingga RM58 bilion daripada syarikat bumiputera serta dana TERAJU sehingga RM1 bilion.

Turut disenaraikan ialah Dana Ciptawan Bumiputera sehingga RM250 juta, dana pelaburan strategik RM100 juta bagi sektor semikonduktor dan pembuatan termaju serta geran padanan untuk PMKS yang mendapatkan pensijilan halal.

Mohd Azamanizam berkata PERDASAMA bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan agensi pelaksana untuk membantu usahawan mendapatkan akses kepada kemudahan berkenaan serta memastikan keberkesanan pelaksanaannya dapat diukur berdasarkan perkembangan perniagaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here