Jerebu: Indonesia belum beri maklum balas tawaran Malaysia padam kebakaran

MALAYSIA masih belum menerima maklum balas daripada Indonesia berhubung tawaran bantuan bagi memadamkan kebakaran di Kalimantan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu disampaikan sendiri ketika melakukan lawatan rasmi ke Jakarta dan bertemu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, membabitkan penghantaran tiga helikopter, sebuah pesawat dan 55 anggota.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, tawaran berkenaan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk membantu negara jiran itu menangani kebakaran terbabit.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya menawarkan bantuan kerajaan dan rakyat Malaysia, namun sehingga kini kita belum menerima maklum balas terhadap tawaran itu.

“Mereka mengucapkan terima kasih atas tawaran bantuan ikhlas kita, tetapi bantuan itu masih belum disalurkan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 bertemakan ‘MADANI Siaga: Tanggungjawab Bersama’ di Pusat Konvensyen Ipoh, di Ipoh hari ini.

Pada sidang media selepas majlis itu, Ahmad Zahid berkata, NADMA dan Kementerian Luar turut mengutus surat kepada rakan sejawat masing-masing di Indonesia, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Kita melihat perkara ini secara positif dan menganggap mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Seperti yang saya katakan, kita bersangka baik (husnuzon) terhadap mereka,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan mempertimbangkan tindakan undang-undang, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneliti sama ada tindakan sedemikian perlu diambil.

“Jika kita menjunjung semangat ASEAN dan menyelaraskan usaha bagi mencegah situasi seperti ini, itu lebih baik. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendekatan itu lebih wajar, selaras dengan semangat ASEAN, berbanding mengambil tindakan undang-undang,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here