PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya segera mengambil tindakan terhadap mana-mana peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang boleh dianggap menyekat kebebasan serta aktiviti mahasiswa.
Beliau menegaskan, mahasiswa tidak seharusnya dikenakan tindakan hanya kerana mengemukakan pandangan atau mengkritik Perdana Menteri dan dasar kerajaan, selagi mereka mempertahankan pandangan masing-masing secara sewajarnya.
Anwar berkata, golongan muda bukan sekadar pemimpin masa depan, sebaliknya mempunyai tanggungjawab untuk memimpin dan memperjuangkan keadilan pada masa kini.
“Golongan muda mesti mewakili suara hati masyarakat hari ini. Masyarakat tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan. Anak muda mesti memperjuangkan perkara ini dengan segala kekuatan dan keyakinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian iFuture 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan golongan muda supaya memanfaatkan peluang pendidikan dan menguasai ilmu baharu dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau menekankan kepentingan menjadikan integriti sebagai asas dalam usaha membangunkan masyarakat serta negara.





