Kerajaan digesa tidak bebankan ‘angsa emas’ negara dengan keputusan politik – Hamzah

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan supaya tidak membebankan institusi strategik negara seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan keputusan politik yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan serta fungsi teras masing-masing.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Larut itu mendakwa, kerajaan membuat keputusan berasaskan pertimbangan politik sedangkan institusi berkenaan terpaksa menanggung kos pelaksanaannya.

“Biarkan ‘angsa-angsa emas’ negara menjalankan perniagaan teras mereka,” katanya yang juga Presiden Parti Wawasan Negara, lapor FMT.

Mengulas mengenai Petronas, Hamzah mempersoalkan jumlah dividen yang dibayar syarikat minyak nasional itu kepada kerajaan, yang menurutnya mencecah RM163 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2027.

Beliau berkata, Petronas membayar dividen RM40 bilion pada 2023 dan RM32 bilion masing-masing pada 2024 dan 2025, manakala pembayaran bagi 2026 dan 2027 ditetapkan masing-masing sebanyak RM27 bilion dan RM32 bilion.

Menurutnya, Petronas memerlukan dana yang besar untuk membiayai pelaburan strategik, termasuk projek LNG Canada Fasa 2 serta pembangunan di Suriname, Turkmenistan dan Pengerang.

Hamzah turut membangkitkan penglibatan Petronas dalam pembangunan 10 ekar pertama bagi penyediaan perumahan mampu milik di atas tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tugas Petronas ialah meneroka minyak dan tenaga masa depan. Biarlah keputusan lembaga pengarah entiti ‘angsa emas’ ini berasaskan pulangan, bukan arahan diumumkan dalam ucapan belanjawan,” katanya.

Selain Petronas, Hamzah turut mempersoalkan keputusan kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik daripada penggunaan bulanan 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj, yang menurutnya menyebabkan TNB menanggung kos sebanyak RM150 juta.

Beliau juga membangkitkan penglibatan KWAP dalam beberapa inisiatif pembangunan yang disifatkannya tidak selaras dengan peranan utama institusi itu sebagai pengurus dana persaraan.

“Mandatnya ialah pulangan yang selamat untuk pesara,” katanya.

Hamzah menegaskan institusi strategik berkenaan perlu diberi ruang untuk melaksanakan mandat masing-masing, dengan keputusan pelaburan dan operasi berteraskan kepentingan jangka panjang serta pulangan yang mampan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here