PEMBANGKANG hari ini mendakwa pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 berisiko mewujudkan golongan pekerja ‘dua darjat’ berikutan pengecualian yang diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pekerja syarikat besar bakal menikmati kadar gaji minimum baharu itu, manakala pekerja PMKS yang dikecualikan daripada pelaksanaan berkenaan masih tertakluk kepada kadar minimum RM1,700.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Hamzah berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian memandangkan PMKS menggaji kira-kira lapan juta pekerja, iaitu hampir separuh daripada tenaga kerja negara.
“Pekerja syarikat besar, lantainya RM2,000. Pekerja PMKS, lantainya kekal RM1,700,” katanya.
Menurutnya, perbezaan RM300 itu boleh mendorong pekerja meninggalkan syarikat kecil untuk beralih ke syarikat besar yang menawarkan gaji minimum lebih tinggi, sekali gus menyukarkan PMKS mengekalkan tenaga kerja.
Katanya, pemilik kedai, bengkel dan kilang kecil mungkin berdepan dilema sama ada menaikkan gaji pekerja kepada RM2,000 walaupun berkemampuan terhad atau berisiko kehilangan pekerja kepada majikan lain.
Hamzah turut mempersoalkan keberkesanan pengurangan cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan kepada PMKS, dengan alasan insentif itu tidak memberi manfaat langsung kepada syarikat yang belum mencatatkan keuntungan.
“Jadi pengecualian itu hanya wujud di atas kertas. PMKS tetap menanggung kosnya, cuma tanpa bantuan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027. Langkah itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekerja dan membantu menangani tekanan kos sara hidup.
Bagaimanapun, PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan operasi perniagaan masing-masing.
Sehubungan itu, Hamzah menggesa kerajaan menyeragamkan kadar gaji minimum untuk semua pekerja, selain menyediakan bantuan atau insentif peralihan kepada majikan yang memerlukan bagi mengurangkan tekanan kos pelaksanaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut turut mencadangkan supaya Dana Insentif PMKS disalurkan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu majikan kecil meningkatkan gaji pekerja selaras dengan pertumbuhan produktiviti.
Menurutnya, bantuan berkenaan perlu diberikan secara bersyarat kepada majikan yang menaikkan gaji, menyediakan latihan kepada pekerja serta melabur dalam automasi.
Beliau berkata, mekanisme itu boleh dilaksanakan berdasarkan pengalaman Program Subsidi Upah menerusi Perkeso yang membantu mengekalkan jutaan pekerjaan ketika pandemik.
Selain itu, Hamzah mencadangkan pelepasan cukai korporat sebanyak satu mata peratusan selama tiga tahun kepada syarikat selain PMKS yang menaikkan gaji pekerja kepada kadar minimum baharu.
“Kerajaan yang mendengar rintihan PMKS adalah kerajaan yang sanggup berkongsi kos peralihan untuk beberapa tahun, sehingga produktiviti syarikat itu sendiri mampu menampung gaji yang lebih tinggi,” katanya.





