Ibu tunggal didakwa abai anak hingga berisiko dianiaya secara seksual

SEORANG ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak perempuannya berusia 15 tahun sehingga berisiko dianiaya secara seksual.

Wanita berusia 32 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya didakwa mendedahkan mangsa kepada keadaan yang mungkin menyebabkannya dianiaya secara seksual atau membenarkan perkara itu berlaku.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Taman Yarl, di sini, antara 1 September hingga 5 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh memohon jaminan RM10,000, manakala peguam Leo Yap yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang bekerja dalam bidang pengurusan acara dengan pendapatan tidak tetap.

Peguam turut memaklumkan tertuduh menghidap kanser serviks dan memerlukan kos bagi rawatan susulan, selain memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke bawah.

Tertuduh juga diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali, manakala sebutan kes ditetapkan pada 3 Disember ini.

Difahamkan, tertuduh membuat laporan polis berkaitan anaknya sebelum polis menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here