Sindiket tipu warga AS menyamar polis New York tumpas, 11 warga asing ditahan

POLIS menumpaskan sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang menyamar sebagai anggota Jabatan Polis New York (NYPD) bagi memperdaya mangsa di Amerika Syarikat (AS), menerusi serbuan di sebuah unit kediaman di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, kelmarin.

Operasi pada jam 5 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Cawangan Khas serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hasil maklumat dan risikan mengenai kegiatan sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan 11 warga asing berusia antara 22 hingga 51 tahun.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada empat warga Afrika Selatan, tiga warga Taiwan serta masing-masing seorang warga Mexico, Zimbabwe, Kenya dan India.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan sindiket untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka berurusan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

“Dalam operasi sama, pasukan serbuan turut merampas tiga pasang pakaian seragam ‘NYPD’, papan logo Polis New York dan peta Bandar Raya New York dipercayai digunakan bagi mengaburi mangsa yang dihubungi menerusi panggilan video.

“Turut dirampas 31 unit telefon bimbit, tujuh unit komputer riba, satu unit monitor, satu unit CPU dan satu unit router,” katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi hari ini, lapor BH.

Ahmad Azwan berkata, pemeriksaan forensik digital dan analisis media sosial terhadap peranti yang dirampas mendapati sindiket itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengubah wajah serta imej latar belakang ketika berhubung dengan mangsa.

Katanya, sindiket berkenaan turut menggunakan dokumen yang menyerupai dokumen rasmi NYPD bagi meningkatkan keyakinan mangsa terhadap identiti palsu mereka.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai bermula sejak pertengahan tahun ini dengan menyasarkan warga AS menerusi dakwaan kononnya mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah dan pengubahan wang haram.

“Semua individu ditahan direman selama empat hari bermula 25 hingga 28 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen untuk membanteras kegiatan sindiket penipuan dalam talian, khususnya jenayah rentas negara yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi.

Ahmad Azwan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa serta tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here