Tuanku Muhriz tidak berangkat, tidak perlu jemputan ke mesyuarat Majlis Raja-Raja

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak memerlukan jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja walaupun media hari ini melaporkan mengenai perkara berkenaan.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Tuanku Muhriz juga tidak menerima sebarang surat atau warkah jemputan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku pengerusi mesyuarat, untuk menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja.

DATUK Azizi Mohamad Ali. GAMBAR: SUK Negeri Sembilan

Menurut beliau, Tuanku Muhriz juga telah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri mesyuarat yang dijadual berlangsung mulai esok hingga 15 Oktober ini.

“Tuanku Muhriz akan memberi tumpuan kepada urusan negeri, khususnya Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Istana Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media mengenai perkara itu kepada mana-mana pihak atau organisasi media sebelum ini.

Kenyataan itu menyusul laporan The Straits Times Singapura sebelum ini yang menyebut Sultan Nazrin menjemput Tuanku Muhriz menghadiri mesyuarat berkenaan, namun baginda dilaporkan hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja.

Perkembangan itu berlaku ketika Negeri Sembilan masih berdepan krisis institusi diraja yang berlarutan sejak April lalu, susulan pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar negeri itu.

Krisis tercetus apabila empat individu yang mendakwa memegang kedudukan Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebelum sepupu baginda, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diisytiharkan sebagai pemerintah baharu pada Jun lalu.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan tindakan berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang, dengan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here