Lelaki ditahan kes curi motosikal, tular ejek remaja

SEORANG lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan polis di Jalan Pluto, Shah Alam, semalam bagi membantu siasatan kes curi motosikal yang dilaporkan hilang pada 3 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, hasil semakan identiti mendapati suspek adalah individu sama yang tular di Facebook berhubung dakwaan mengejek seorang remaja perempuan di Kampung Melayu Subang.

“Setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan isu mengejek atau membawa senjata tajam seperti yang didakwa dalam video tular berkenaan.

“Orang ramai yang menjadi mangsa atau saksi kejadian diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau serta 10 rekod kesalahan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, IPD Sungai Buloh menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada polis dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here