Jerebu: Sekolah di tiga negeri ditutup esok, beberapa daerah turut terjejas

SEMUA sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan ditutup esok, 14 Oktober susulan situasi jerebu, menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Penutupan itu turut membabitkan beberapa daerah di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak, berdasarkan pemakluman operasi sekolah yang dikongsikan menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Di Selangor, sekolah yang terlibat ialah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Sepang, manakala di Pahang membabitkan PPD Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Sabah, penutupan melibatkan sekolah di bawah PPD Tawau, sementara di Sarawak membabitkan PPD Serian, Sri Aman dan Lubok Antu.

Bagaimanapun, kata Fadhlina, sekolah di negeri dan daerah lain yang tidak disenaraikan akan beroperasi seperti biasa.

Menurut beliau, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sepanjang tempoh penutupan sekolah bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas.

“Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, manakala guru-guru dan AKP dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR),” menurut hantarannya lagi.

Langkah penutupan itu dibuat susulan keadaan jerebu yang memerlukan perhatian bagi memastikan keselamatan dan kebajikan warga sekolah terus terpelihara.

Orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, disaran merujuk pemakluman rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai operasi sekolah di kawasan masing-masing.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here