Mohamad Hasan puji ketegasan Anwar perjuang isu Gaza di pentas antarabangsa

KETEGASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membangkitkan isu Gaza pada pelbagai platform antarabangsa membuktikan pendirian konsisten Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Anwar tidak pernah mengetepikan isu berkenaan setiap kali menghadiri persidangan antarabangsa, termasuk forum pelbagai hala yang membabitkan pemimpin dunia.

Menurut beliau, ketegasan Perdana Menteri bukan sahaja ditunjukkan dalam kalangan negara ASEAN, malah turut dizahirkan ketika berhadapan pemimpin dari negara lain.

“Kalau setakat bersuara di peringkat antarabangsa, memang Malaysia sudah diketahui berbuat demikian. Perdana Menteri, di mana-mana sahaja dalam negara ASEAN, tidak kisah untuk membangkitkan isu ini kerana mereka rakan-rakannya.

“Tetapi di negara lain, termasuk ketika sidang BRICS, APEC dan apa sahaja platform pelbagai hala atau antarabangsa, beliau akan bersuara dengan keras dan tidak pernah meninggalkan agenda berkaitan Gaza,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai pendirian Malaysia terhadap tindakan Israel di Gaza serta usaha menggerakkan ASEAN supaya mengambil pendekatan lebih tegas terhadap konflik berkenaan.

Beliau berkata, ketegasan Anwar dalam memperjuangkan isu berkenaan turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan Perdana Menteri, memandangkan beliau lantang menyuarakan pendirian Malaysia di hadapan pemimpin antarabangsa.

Katanya, beliau sendiri pernah mengingatkan Anwar supaya turut mengambil kira aspek keselamatan diri ketika menyuarakan pendirian secara tegas.

“Ini saya akui, sampai saya terpaksa cakap kepada Perdana Menteri, ‘Datuk Seri, cukuplah’. Kita risau juga tentang keselamatan beliau kerana keselamatan beliau pun perlu kita ambil berat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, isu Gaza terus dibawa oleh Malaysia dalam kerangka ASEAN, selain usaha mendapatkan pendirian bersama negara anggota berhubung konflik berkenaan.

Beliau turut menyentuh perkembangan yang disifatkannya sebagai pencapaian penting apabila Malaysia berjaya mengeluarkan kenyataan bersama berkaitan isu itu buat pertama kali, seperti yang dinyatakannya dalam Dewan Rakyat.

Ketegasan Malaysia dalam membangkitkan isu Gaza di peringkat serantau dan antarabangsa mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan penderitaan rakyat Palestin terus mendapat perhatian masyarakat dunia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here