DATUK Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan masyarakat antarabangsa mempertahankan hak rakyat Palestin, yang menurutnya mencerminkan kegagalan menegakkan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia secara konsisten.
Perdana Menteri berkata, masyarakat antarabangsa tidak seharusnya mengamalkan pendekatan berbeza dalam menangani isu Palestin kerana hak untuk hidup bebas daripada penjajahan perlu diberikan kepada semua manusia tanpa mengira agama atau bangsa.
“Apakah makna ketertiban dunia tanpa demokrasi dan hak asasi manusia, apabila manusia dilayan seperti haiwan dan hamba?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena Global Sumud Congress 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi, malam ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotila, Thiago Avila dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia merangkap Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.
Anwar berkata, rakyat Malaysia dan masyarakat di negara lain yang pernah mengalami penjajahan dibesarkan dengan kesedaran untuk menentang segala bentuk penjajahan, ketidakadilan dan penindasan.
Katanya, generasi terdahulu berjuang menentang kolonialisme dan imperialisme kerana menolak kezaliman, namun prinsip sama yang pernah ditentang itu seolah-olah dibiarkan berlaku dalam masyarakat dunia hari ini.
“Sekarang, kita berada dalam masyarakat yang membiarkan prinsip sama yang kita tentang selama berdekad-dekad ketika menentang kolonialisme dan imperialisme,” katanya.
Merujuk situasi di Gaza, beliau berkata, penderitaan rakyat Palestin tidak seharusnya dianggap sebagai krisis yang hanya berlaku sejak dua atau tiga tahun lalu, sebaliknya perlu difahami berdasarkan sejarah penindasan yang berlarutan lebih 70 tahun.
Beliau turut mempersoalkan sama ada layanan berbeza terhadap rakyat Palestin berpunca daripada latar belakang bangsa atau agama mereka.
“Mengapa apabila berkaitan isu Palestin, terdapat perbezaan dari segi aturan, pertimbangan dan keputusan? Adakah kerana mereka orang Islam, Arab atau Palestin?
“Bagi saya, perkara itu tidak penting. Apa yang penting ialah mereka manusia dan mereka tidak boleh dijajah,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada rakan sejawatnya di Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa bahagian lain di dunia bagi mendapatkan penjelasan mengenai perbezaan pendekatan terhadap isu Palestin.
Katanya, masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan penindasan dan kekejaman terus dilakukan terhadap orang awam yang tidak berdosa.
Beliau berkata, penderitaan bayi dan kanak-kanak Palestin yang terpaksa menanggung kesengsaraan selama berdekad-dekad seharusnya mendorong masyarakat dunia untuk terus membantu, bukannya hanya memberi tumpuan kepada masalah sendiri.
“Bagaimana hendak membandingkan rayuan dan tangisan bayi serta kanak-kanak yang menanggung penderitaan selama berdekad-dekad dengan masalah kita sendiri?” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa semua pihak terus menyokong usaha membantu rakyat Palestin menerusi sumbangan, khidmat dan tenaga mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau berkata, walaupun usaha yang dilakukan kecil, setiap sumbangan tetap bermakna dalam membantu rakyat Palestin yang berdepan penindasan berpanjangan.
Anwar turut menyuarakan keyakinan bahawa peningkatan kesedaran masyarakat di Amerika Syarikat, Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin akan membantu mengukuhkan perjuangan menuntut keadilan untuk Palestin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peserta antarabangsa yang menyertai gerakan berkenaan dan menyifatkan mereka sebagai suara hati nurani yang terus mendesak supaya kebebasan dan keadilan ditegakkan.
Katanya, sokongan berterusan masyarakat antarabangsa penting bagi memastikan perjuangan rakyat Palestin tidak terhenti, selain berharap usaha berkenaan membawa kepada kebebasan Palestin, Gaza dan Masjid Al-Aqsa.





