NOTIFIKASI ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) diterima hampir serentak di beberapa lokasi seluruh negara, termasuk Padang Besar, Perlis serta Pulau Sebatik dan Tawau, Sabah, pagi ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, maklum balas penerimaan notifikasi itu diperoleh secara langsung menerusi sesi bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Jabatan Penerangan ketika ujian serentak berkenaan dijalankan.
“Selepas saya menekan butang pengesahan untuk menghantar mesej ujian itu, hampir serentak seluruh negara mendapat maklumat amaran yang sama,” katanya selepas sesi ujian MySiren di Markas SMART, Puchong, hari ini.
Menurutnya, notifikasi ujian itu disampaikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, namun sistem berkenaan turut berupaya menyalurkan amaran dalam bahasa lain sekiranya terdapat cadangan untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran disalurkan terus kepada telefon bimbit dalam kawasan liputan pemancar tanpa menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mengumpul maklumat pengguna.
Katanya, sistem itu beroperasi selama 24 jam dan boleh dimanfaatkan bagi menyalurkan amaran kepada penduduk berhampiran sungai ketika Monsun Timur Laut, khususnya apabila paras air melepasi tahap bahaya.
“Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya sambil menjelaskan bunyi amaran yang kuat bertujuan menarik perhatian pengguna, termasuk ketika waktu malam.
Fahmi turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengemas kini perisian telefon bimbit masing-masing bagi memastikan peranti dapat menerima notifikasi MySiren.
Beliau berkata, orang ramai tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi khusus untuk menerima amaran berkenaan.
MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu, diikuti ujian bersama Ahli Parlimen pada 23 November sebelum ujian serentak di seluruh negara dilaksanakan hari ini.





