BEBERAPA bintang bola sepak semasa dan bekas pemain yang pernah beraksi dalam liga Arab Saudi menyatakan solidariti mereka bersama negara itu susulan serangan terbaru yang didakwa dilakukan militia Houthi terhadap infrastruktur awam, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam.
Mesej yang disampaikan mereka mencerminkan hubungan rapat dengan negara itu serta sokongan kepada kerajaan dan rakyat Arab Saudi ketika berdepan situasi sukar.
Kapten Al-Nassr, Cristiano Ronaldo, menunjukkan sokongannya kepada Arab Saudi sebelum dan selepas perlawanan pasukannya dalam saingan Liga Juara-Juara Elit AFC menentang kelab Uzbekistan, Neftchi, yang menyaksikan juara bertahan Liga Pro Saudi (SPL) itu menang 3-1.
Ronaldo dilihat mencium lambang Arab Saudi pada jersi Al-Nassr sebelum perlawanan, dalam satu tindakan yang dilakukan ketika tahap keselamatan di Riyadh dipertingkatkan susulan ketegangan semasa.
Selepas kemenangan itu, Ronaldo menuju ke arah tempat duduk penonton untuk meraikan kejayaan bersama penyokong sambil memakai skaf hijau Arab Saudi yang tertera ungkapan daripada lagu kebangsaan negara itu: “Hidup Raja, demi bendera dan negara.”
Pemain tengah Al-Ittihad, Georginio Wijnaldum, pula memulakan sidang media praperlawanan menjelang aksi Liga Juara-Juara Elit AFC dengan menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terjejas akibat serangan di lapangan terbang Riyadh.
“Perlawanan ini akan menjadi sukar selepas kejadian yang berlaku baru-baru ini. Takziah kami ucapkan kepada keluarga mereka yang terkorban. Walaupun berdepan situasi ini, kami tetap menantikan perlawanan tersebut dan berharap dapat mencapai kemenangan,’’ katanya
Jurulatih Al-Ahli, Marino Pusic, turut melahirkan rasa dukacita mendalam terhadap serangan yang menyasarkan lapangan terbang Riyadh, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai “hari yang menyedihkan” dan berharap ketegangan dapat ditamatkan secepat mungkin.
Kenyataan pemain dan jurulatih itu hadir ketika komuniti bola sepak Arab Saudi terus menyuarakan sokongan kepada negara berkenaan susulan serangan yang menyasarkan infrastruktur awam.
Dalam sidang media pada Ahad, pertahanan Al-Ahli, Merih Demiral, menjadi antara pemain terawal yang menyentuh mengenai serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan menyatakan solidariti kepada mereka yang terjejas.
“Saya tidak boleh berdiam diri terhadap apa yang sedang berlaku. Saya mendoakan agar semua yang cedera dalam serangan pengganas ini segera pulih. Saya menyifatkannya sebagai serangan pengganas kerana ia menyasarkan orang awam yang tidak bersalah tanpa sebarang sebab,” katanya.
“Saya mendoakan mereka yang terkorban. Doa dan hati saya bersama mereka. Arab Saudi ialah sebuah negara yang sangat kuat dan akan mengatasi krisis ini. Negara ini ialah rumah kedua saya dan kami sentiasa berasa selamat serta gembira berada di sini.”
Jurulatih kelahiran Jerman yang mengendalikan Al-Shabab, Thomas Letsch, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan itu.
Beliau turut menyatakan sokongan dan solidariti penuh kepada Arab Saudi, selain mendoakan agar negara itu terus menikmati keselamatan, keamanan dan kestabilan.
Penjaga gol Al-Ahli, Edouard Mendy, juga menyuarakan bantahan terhadap serangan berkenaan menerusi mesej sokongan di akaun media sosialnya yang disertakan dengan bendera Arab Saudi.
Selepas perlawanan Al-Ahli menentang Al-Wasl di Dubai pada malam Selasa, bintang Senegal itu memuat naik hantaran Instagram Story yang memaparkan ungkapan: “Ya Tuhanku, jadikanlah negara ini aman.”
Pemain tengah Sepanyol yang mewakili Al-Ettifaq, Álvaro Medrán, turut melahirkan rasa sedih menerusi hantaran di akaun X miliknya, selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Saya sudah menetap di Kerajaan Arab Saudi hampir lima tahun dan amat sedih dengan laporan mengenai serangan di Riyadh. Takziah yang tidak terhingga kepada keluarga mangsa,” tulisnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kehidupan di Arab Saudi masih berlangsung seperti biasa dalam suasana selamat dan aman.
“Saya juga ingin meyakinkan semua pihak bahawa kehidupan di Arab Saudi diteruskan dengan suasana selamat, aman dan stabil,” katanya.
Bekas pemain juga tidak ketinggalan menyatakan solidariti mereka. Anderson Simas Luciano, yang lebih dikenali sebagai Tcheco dan pernah beraksi bersama Al-Ittihad dari 2003 hingga 2008, menyampaikan sokongannya kepada Arab Saudi.
“Saya menyampaikan doa dan solidariti kepada rakyat Arab Saudi. Saya berdoa agar Tuhan mengurniakan keamanan kepada negara yang mesra ini serta memberkati rakyatnya dengan keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” katanya.
Bekas penyerang profesional, Bafetimbi Gomis, yang pernah menyarung jersi Al-Hilal dari 2018 hingga 2022, turut menyatakan sokongan kepada negara itu.
“Semoga Arab Saudi sentiasa makmur dan terus bersinar,” katanya.





