POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan penyiasat ke Jepun bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan lima rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, misi berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti kemungkinan penglibatan rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau, pihak berkuasa Jepun juga sedang menyiasat sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu.
“JSJN dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun mengenai penahanan dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia di Lapangan Terbang Haneda pada 10 Oktober lalu.
“Pihak Kastam Jepun menemukan lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut dipakai kelima-lima suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penahanan itu membabitkan lima warga Malaysia terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita yang ditahan pada 10 Oktober lalu.
Pengesahan terbaharu PDRM itu turut menjelaskan laporan media tempatan sebelum ini yang menyebut empat lelaki dan seorang wanita ditahan berhubung kes berkenaan.
Siasatan lanjut akan dijalankan bersama pihak berkuasa Jepun bagi meneliti keseluruhan rangkaian kegiatan penyeludupan dadah yang dipercayai berkaitan dengan kes itu.




