SEORANG lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor lembu yang melintas jalan ketika hujan di Jalan Chengkau–Pilin–Lubok Cina, berhampiran Kampung Panchang di Rembau malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss 110 dipercayai tercampak ke atas jalan raya akibat pelanggaran itu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Ngiam Ooi Ming berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang bersendirian dari arah Lubok Cina menuju ke Pekan Rembau.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan. Kejadian berlaku ketika hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan akibat pelanggaran itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Rembau yang tiba di lokasi.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Menurut Ooi Ming, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Rembau bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan ketika menunggang atau memandu pada waktu malam, terutama ketika hujan yang boleh menjejaskan keadaan pemanduan.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan luar bandar yang berisiko mempunyai haiwan ternakan berkeliaran atau melintas jalan bagi mengelakkan kemalangan maut.





