Penipuan kewangan: 9,600 akaun keldai dikenakan tindakan

USAHA membanteras penipuan kewangan menunjukkan perkembangan positif apabila pengesanan akaun keldai oleh institusi kewangan meningkat sebanyak 149 peratus sejak Portal Fraud Kebangsaan (NFP) mula diperkenalkan pada April 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan telah diambil terhadap lebih 9,600 akaun keldai sehingga Disember tahun lalu, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan terhadap kegiatan penipuan kewangan.

Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) terus mempertingkat kerjasama dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui NFP bagi membolehkan pengesanan dana hasil penipuan dan akaun keldai dilakukan dengan lebih pantas, selain memperluas perkongsian maklumat bersama agensi penguatkuasaan.

Katanya, langkah penambahbaikan turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sistem mengesan serta mencegah penipuan, seiring dengan perubahan taktik sindiket jenayah kewangan.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa institusi kewangan yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan mengikut tahap keseriusan pelanggaran, termasuk pendakwaan, kompaun, penalti kewangan pentadbiran atau surat amaran.

Dalam pada itu, BNM menetapkan pelbagai keperluan kawal selia terhadap bank konvensional, bank digital dan penyedia dompet elektronik bagi mengelakkan kemudahan kewangan disalahgunakan untuk aktiviti jenayah.

Institusi berkenaan juga diwajibkan mengesan transaksi yang mencurigakan, melaporkan akaun yang dipercayai digunakan sebagai akaun keldai serta mengambil tindakan segera untuk menyekat pemindahan wang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Usaha bersepadu antara institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan itu penting bagi mempercepat tindakan terhadap aliran wang yang mencurigakan serta mengurangkan risiko orang ramai menjadi mangsa penipuan kewangan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here